Faktor masa tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk anda tidak bersenam. Sibuk bekerja dan sebagainya bukanlah satu halangan untuk anda memulakannya. Jadualkan masa sekurangkurangnya lima hingga 10 minit setiap hari untuk berjalan kaki walau di mana jua anda pergi.
Seperti yang diketahui, berjalan kaki merupakan satu bentuk senaman mudah untuk dilakukan sama ada anda sedar atau tidak. Contoh yang paling mudah ialah meletakkan kenderaan anda di tempat yang jauh sedikit daripada tempat yang anda biasa letak. Kemudian, berjalanlah sedikit dan elakkan menggunakan lif. Sebaliknya gunakan tangga semampu yang anda boleh. Aktiviti berjalan kaki ini sebenarnya lebih menyeronokkan apabila ia turut dilakukan bersama rakan, pasangan mahupun keluarga. Jangan memandang remeh aktiviti berjalan kaki kerana banyak manfaat yang anda peroleh melaluinya.
Pada dasarnya, aktiviti fizikal seperti ini yang dilakukan secara berterusan dan dalam tempoh yang panjang membantu melatih tahap jasmani seseorang. Selain daripada itu, oksigen yang disedut dan dihembus akan melancarkan peredaran darah. Sebagai impaknya, tubuh tidak mudah merasa penat, sebaliknya segera mengembalikan tubuh pada keadaan yang normal di samping mengurangkan tekanan.
Jalan kaki dan diet
Hampir setiap latihan fizikal yang dilakukan akan membakar kalori. Persoalannya berapa banyak kalori yang terbakar? Seperti aktiviti fizikal yang lain, berjalan kaki turut membakar kalori dalam jumlah yang cukup besar. Wanita yang berusia 40 an dan ke atas yang berjalan kaki dengan kecepatan sekurang-kurangnya 70 langkah seminit selama 30 minit dapat membakar kalori hingga 79kcal. Lebih banyak langkah yang dilakukan, lebih banyak kalori yang terbakar. Sebaliknya, bagi lelaki berusia 40 an dan ke atas yang melakukan perbuatan yang sama hanya membakar kalori sebanyak 64kcal. Oleh itu, jadikan aktiviti ini sebagai rutin harian anda. Anda dapat mengira berapakah jumlah kalori yang hilang ketika berjalan kaki.
No comments:
Post a Comment